BAGAIMANA ABAH MENDIDIK
Abah memang garang. Ketika kecil, kami dilarang daripada menonton televisyen pada waktu senja kerana kata abah,
“Boleh merosakkan mata”
Tapi, kami tetap degil sebab pada pukul 7 malam, biasanya disiarkan rancangan Power Ranger pada setiap hari Sabtu, disusuli dengan kartun Doraemon pada setiap hari Ahad pada waktu yang sama. Abah pula biasanya menebas halaman rumah pada waktu petang dan hanya akan masuk ke rumah apabila matahari hampir terbenam.
Jadi, kami mula bersiap siaga menantikan masuknya abah ke dalam rumah sambil menonton Power Rangers dan Doraemon dengan volume yang paling rendah.
“Ktak!”
Sebaik sahaja mendengar bunyi daun pintu dikopek oleh abah (yang menanadakan abah sedang masuk ke dalam rumah), kami mula bergegas meninggalkan televisyen. Ada yang berpura-pura ke tandas, baru keluar dari tandas, menunggu di bilik dan sebagainya.
Dan abah pula tidaklah bodoh. Abah biasanya akan meletakkan tangannya di atas peti televisyen. Kalau hangat, ertinya kami menonton televisyen sebelum abah masuk tadi. Tapi, walaupun hangat, abah tak pernah marah pun. Tapi, kami tetap takut.
*********************************************************
Biasanya, bila abah dah masuk rmh, dia akan ke bilik air tuk mandi dan siapkan diri utk solat maghrib. Masa tu, kami adik beradik akan buka balik TV dgn volume yang palinggg perlahan. Dan sempat la tgk kartun tu sikit2..tp dgn penuh debaran di hati.hehehe
***********************************************************
BELAJAR MENGAJI DENGAN MAK
Sementara menunggu masuk waktu solat Isyak, aku dan abang akan belajar membaca Al-Quran dengan emak manakala adik-beradik yang lain sudah boleh membaca Al-Quran sendiri. Kadang-kala, kami pernah juga belajar Al-Quran daripada abah, tapi biasanya tak lama sebab abah sangat garang. Asal ada salah, pasti akan ditengkingnya yang kemudiannya akan disusuli dengan tangisan tak berlagu.
****************************************************
Masa aku dah besar, aku penah amik alih tugas mak mengajar adik2 aku baca Al-Quran. Farhi adalah adik aku yang paling lama dapat aku ajar. Tapi sekarang, dia lebih pandai dr kakaknya ini. Adik2 aku beruntung dpt ngaji dgn mak dan kakak2nya. Berbanding aku dan kakak aku dulu, kena ngaji dgn abah yang teramatlah garangya. Jangan la baca salah..habislah nnt.
*****************************************************
SOLAT JAMA’AH
“Amiin…”
Ruang solat di rumah lantas bergema dengan bacaan Al-Fatihah daripada anak bongsunya yang pada ketika itu baru berusia antara lima hingga enam tahun. Abah selaku imam agak terganggu dengan bacaan surah Al-Fatihah anak bongsunya itu; namun, dia tidak pernah melarang. Mungkin kerana anaknya itu masih kecil. Ruang solat yang pada ketika itu belum ditutupi siling membuatkan gemaan suara anak bongsunya itu bertambah kuat bunyinya.
Abah, Mak, Abang Mi (Hilmi), Kak Mah (Zaiimah), Ka’ah (Farihah), Cik (Imanah),dan Abang (Husnul Farhi) semuanya menetap bibir menahan diri daripada ketawa.
Di sinilah tempat kami sekeluarga bersolat jamaah masa muda-muda dulu
Kadang-kadang, abang selalu mengusik aku di dalam solat (lebih-lebih lagi di luar solat). Ketika abah sedang khusyuk mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, abang selaku salah seorang makmum tidak akan melepaskan peluang untuk menggeletek perutku. Dan aku pun membalas geletekannya. Tapi, abang pandai mengelak
Sebagai balasan, aku mencubit peha kiri abang ketika kami semua sedang rukuk. Abang menahan kesakitan. Tapi, dia tidak berdaya menahan air matanya daripada gugur ke bumi. Baru puas hati aku. Itulah balasannya. Selalu sangat kacau aku. Tapi, hati kecilku masih berasa takut. Mana tidaknya, habislah kalau abang beritahu abah.
Usai memberi salam, abah memalingkan badannya ke belakang sambil mulutnya masih terkumat-kamit berwirid dengan nada suara sederhana supaya kami anak-beranak dapat berwirid bersama-sama dengannya.
Abang yang masih tersedu-sedu menahan sakit penangan cubitan berbisa daripada aku mula menarik perhatian abah. Tanpa meluahkan sebarang kata-kata, abah menjeling tajam kepadaku. Jelingan abah sudah cukup untuk membuatkan aku menangis lebih kuat daripada abang.
**************************************************************
Mmg masa solat jemaah ni, aku teramat geram dgn kelakuan 2 org adik lelaki aku ni. Mmg mengganggu kekhusyukan kami yg berada dibelakang. Solat Jemaah ni mmg rutin buat keluarga aku. Tp biasanya aku dan adik beradik sedaya upaya mengelak dr berjemaah ni. Maklumla, solat ngan abah mmg lama. Masa budak2 dulu, mmg jahil, bukat tau sgt fadhilat berjemaah ni. Apa yang kami tau nak cepattt je. Maka, kalo abah masuk rmh sblm maghrib, dan terlupa pesan kat ktorg yg kena solat jemaah, maka kami adik beradik akan sembahyang sebaik sahaja masuk waktu, jadi bila abah dah siap2 nak solat dan panggil kami tuk berjemaah..cepat je kami jawab. Dah sembahyang la abah. isk..isk..jgn ikut yer anak2!!
****************************************************************
Selepas kami mengaminkan doa abah, semua adik-beradik bersalam-salaman termasuklah aku dan abang. Kemudian, emak dan semua anak-anak perempuan abah dan emakku (kakak-kakak aku lah) pergi ke dapur menyediakan makan malam. Makan malam biasanya cucur pisang, cucur ubi, karipap, cucur kodok, donut atau roti canai yang biasanya disiapkan pada waktu petang sebelum digoreng pada waktu malam selepas solat Isyak. Makan malam biasanya dihidangkan bersama air kopi dan milo panas.
Sementara menunggu cucur siap digoreng, abah mengambil buah mangga sebagai alas perut. Abah memanggil aku dan abang makan bersama-sama dengannya. Sambil makan, abah menasihati aku dan abang supaya tidak lagi bergaduh ketika solat. Selepas daripada peristiwa itu, aku dan abang tidak lagi bergurau di dalam solat. Tapi, aku masih melaungkan bacaan Al-Fatihah dengan kuat seperti selalu.
PERANG BASUH PINGGAN
Selepas selesai menjamah juadah makan malam, kakak-kakakku akan mula bertengkar tentang giliran siapa yang patut cuci pinggan pada malam ini. Situasi ini biasanya berlaku pada hampir setiap malam. Aku tahu, mereka bukannya sengaja mahu bergaduh. Mana tidaknya, bukannya sedikit jumlah pinggan mangkuk beserta cawan-cawan yang perlu dibasuh.
Tapi, bergaduh macam mana pun, pinggan mangkuk dan cawan masih tetap perlu dicuci. Dan selepas itu, mereka kembali berbaik-baik seperti sediakala. Adik-beradik lah katakan. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua.
**********************************************************
hahaha..situasi mcm ni mmg selalu berlaku. Terutama sekali dlm bulan puasa. Masa tu pinggan mangkuk mmglah teramat banyakkkk. Terpaksa aku dan kakak serta adik perempuan aku, buat giliran basuh pinggan bermula dari 1 ramadhan. Tp biasa la..kadang2 ada yg claim dia dah basuh semlm. Ada buat2 lupa..maka bergaduh lagi...lawak2
***********************************************************
SEBELUM MATA TERPEJAM
Aku dan abang tidur bersama-sama dengan mak dan abah di bilik mereka. Abang tidur di tepi dinding, aku tidur di sebelah abang, diikuti dengan mak dan abah. Kak Mah, Ka’ah dan Cik tidur di bilik sebelah. Kesian Abang Mi. Dia tidur di bilik stor di tingkat atas sebelum bilik itu dipisahkan menjadi dua bilik; satu bilik stor, satu lagi bilik tidur Abang Mi.
Stor ni pernah menjadi tempat tidur Abang Mi
Terlalu banyak kisah dan peristiwa menarik yang berlaku di dalam bilik-bilik ini. Antaranya, aku akan diajar membaca Surah Al-Fatihah dan 3 Qul oleh mak sebelum tidur. Dan seperti biasa, aku akan membaca dengan nada suara yang paling kuat yang pastinya akan mengundang rasa lucu di hati adik-beradikku yang lain. Kanak-kanak lah katakan.
*******************************************************
masa tu, kami adik beradik ppuan tido kat bilik sebelah. Adat la budak2 ppuan. Time nak tido mesti byk cerita nak dibualkan. Kadang2 terkekek2 ketawa. Abah pun mula berdehem. Stop la sekejap. Pastu sambung balik sembang, mula2 slow..lama2 terkuat plk. Terus abah bersuara dari bilik sebelah, "Hampa nak tidoq ka nak sembang??" terus kami semua diam..dan pejam mata..takut oo bila abah dah bersuara. Tapi utk hari tu je la..esok2 still buat benda yang sama.
*********************************************************
MAK MENJADI BUAYA
Pada setiap waktu malam, aku akan didatangi satu mimpi yang sama. Dalam mimpi tersebut, aku melihat mak keluar dari bilik. Aku pun keluar sama mengikut mak. Mak kemudiannya membawaku ke tangga sebelum dirinya bertukar menjadi buaya dan mengejarku mengelilingi tangga tersebut. Setelah letih menakut-nakukan aku, mak kembali menjadi manusia dan membawaku kembali ke bilik tidur.
Pernah pada satu malam, aku mengigau dan aku benar-benar keluar dari bilik setelah melihat kelibat mak keluar dari bilik. Dalam keadaan sekeliling yang gelap-gelita, aku melihat mak memakai baju berwarna putih dan aku memanggil “mak”. Lembaga tersebut memalingkan wajahnya kepadaku sambil menguntumkan sebuah senyuman.
Tiba-tiba, bahuku dicuit oleh emakku yang sebenar. Aku berasa hairan dan menceritakan mimpi tersebut kepada mak. Kata mak, aku cuma mengigau. Tetapi, selepas peristiwa tersebut, aku tidak lagi didatangi mimpi “mak bertukar menjadi buaya” seperti yang aku alami pada malam-malam sebelumnya.
********************************************
part ni merapu betollah adik aku ni. Biasa la budak2. mmg selalu mimpi bukan2.
*************************************************
CAKAR DINDING
Sebenarnya, terdapat banyak lagi peristiwa misteri yang berlaku di bilik mak, bilik Abang Mi dan tangga yang menghubungkan antara tingkat bawah dan tingkat atas rumah kami.
Bilik tidur lama mak dan abah yang juga merupakan bilik tidur aku dan abang ketika kami masih kanak-kanak
Antaranya, abang pernah diusik oleh seekor lembaga bulat yang selalu mencakar dinding di luar bilik tidur mak. Memandangkan pada setiap malam abang akan tidur di hujung dinding, maka hanya abang seorang sajalah yang pernah mendengar bunyi cakaran tersebut.
Bagaimana kami tahu yang lembaga itu berbentuk bulat? Kata abang, pernah sekali lembaga itu masuk ke dalam bilik dan dia melihatnya dalam bentuk seorang kanak-kanak yang sangat sihat (gemuk). Abang kemudiannya terus menerajang lembaga tersebut dan dia tidak berani lagi membuat bising selepas itu.
************************************
ni pun aku rasa imaginasi budak laki 2 org ni. lawak2. tapi masa tu aku pun percaya bila adik aku dok sakan bercerita.
********************************************
PUAKA BILIK ABANG MI
Selain itu, Abang Mi juga pernah bertemu dengan seekor toyol ketika dia tidur di bilik stor. Aku, Ka’ah, Cik dan abang pula pernah diganggu ketika kami tidur di bilik Abang Mi yang ketika itu sedang mengikuti program latihan polis di Pulapol.
Dalam satu peristiwa, aku sendiri melihat kipas yang diletakkan di hujung kaki kami ter“off’ secara automatik. Pada mulanya, aku sangkakan yang kipas tersebut memang telah disetkan supaya berhenti (sebab kipas itu memang boleh disetkan pun). Maka, tanpa sebarang perasaan takut, aku pun menghidupkan kembali kipas tersebut.
Tapi, tak sampai seminit, kipas tu berhenti sekali lagi. Aku pun terus berpura-pura tidur dan menutup muka dan seluruh badanku dengan kain selimut.
*****************************************
yang ni mmg mengerikan..tu la gatai lagi nak tidoq kat bilik abg mie.sapa suruh?? mcm tak leh tidoq kat bilik sendiri.
*************************************************
JIN DEEPARAYA
Pernah pada satu malam di bulan Ramadhan, abah dan mak ke surau untuk menunaikan solat tarawih. Manakala kami adik-beradik mengambil peluang menonton drama tamil di TV2 memandangkan esok hari merupakan hari Deepavali.
Abah dan mak pulang agak lewat pada malam tersebut. Oleh kerana terlalu mengantuk, aku mengambil keputusan untuk tidur awal di bilik Cik. Kak Mah pula telah tidur lebih awal (Kak Mah tidur di atas sebuah katil yang diletakkan di bawah tangga sebab tak cukup bilik).
******************************************************
masa ni aku pun tak paham, awat kak mah tak mau tidor sebilik ngan aku dan chik. Sanggup tido kat katil bawah tangga rmh.
********************************************************
Maka, pada ketika itu yang tinggal hanyalah Ka’ah, Cik dan abang yang masih setia menonton drama tamil tersebut. Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi seakan-akan ada kelibat yang sedang berlari-lari di atas tangga yang menghubungkan antara tingkat bawah dan tingkat atas (Kak Mah tidur di bawah tangga tersebut). Mereka saling pandang-memandang antara satu sama lain.
“Comel kut…”
Kata salah seorang kakakku. Comel merupakan salah seekor kucing yang dibela oleh Kak Mah. Seekor lagi bernama Manja. Namun, ternyata tekaan mereka itu salah kerana Comel turut sama menonton drama tamil tersebut bersama mereka.
Kelibat Jin Deeparaya dikatakan pernah bermain-main di atas tangga ini pada suatu masa dahulu
“Manja kut…”
Sekali lagi mereka tersalah kerana Manja pun turut menonton drama tamil tersebut bersama-sama dengan mereka. Lidah mereka mulai kelu. Masing-masing tak tahu apa yang perlu dilakukan. Nak pergi ke tangga; tak berani. Jadi, mereka hanya menunggu kepulangan abah dan emak dari surau sementara lembaga misteri tersebut masih asyik bermain-main dan membuat bising di tangga.
Akhirnya, apabila jam menghampiri angka 12 tengah malam, abah dan emak baru pulang dari surau. Sebaik sahaja abah dan mak sampai di rumah, bunyi bising di tangga tersebut berhenti. Ka’ah, Cik dan Abang terus menerpa ke arah mak dan abah, lantas menceritakan peristiwa tersebut kepada mereka. Kata abah,
“Tak ada apa-apa…”
Mungkin kerana abah tak mahu menakutkan anak-anaknya. Keesokan paginya, mereka bertanya pula kepada Kak Mah sama ada dia ada mendengar sebarang bunyi pada malam tadi kerana bunyi tersebut benar-benar datang dari atas tangga, sangat hampir dengan tempat Kak Mah beradu. Tapi, Kak Mah pun tak mendengar sebarang bunyi. Tidur mati agaknya.
*******************************************************
padan muka kami. Sapa suh berjaga tengah malam semata2 nak tgk cerita tamil?? kang dah dapat gangguan baekkk punyaaa.
********************************************************
BULAN RAMADAHAN
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling menyeronokkan bagi kami adik-beradik, sebab hanya pada bula ini sajalah kami dapat merasai minuman berkarbonat. Pada bulan-bulan yang lain, abah memang tak pernah sekali pun membenarkan kami membeli sebarang makanan ringan termasuklah air berkarbonat (kami mengenalinya sebagai “air gas”).
Bulan Ramadhan juga merupakan kesempatan bagi kami untuk menonton televisyen pada waktu malam kerana abah biasanya melarang kami daripada menonton televisyen pada waktu malam. Hal ini berbeza pada malam-malam di bulan Ramadhan kerana abah dan emak akan ke surau untuk menunaikan solat sunat tarawih. Ketika itulah kami mengambil kesempatan untuk menonton televisyen.
***************************************************************
Masa ni la ada cerita "The cave of the golden roses" tu. Maka, hari2 kami berdoa, moga selepas tarawikh, abah akan singgah rmh tok dulu. So, dapat la kami tengok siri ni sampai abih. Kalo tak..kim salam la..abah balik..maksudnya, Tivi kena tutup. Payahnya nak tgk tivi masa kanak2 dulu. Walaupun abah tak bawa kami pegi surau utk bertarawikh. Tp dia tetap mewajibkan kami solat tarawikh kat rmh. Tapi, kami buat 8 rakaat je la. :)
****************************************************************
MENCARI KONKLUSI
Abang Putra (suami Ka’ah) pernah bertanya kepadaku, “Kenapa manusia dicipta supaya mempunyai banyak generasi?” (Abang Putra tak lah tanya macam ni…saja ja nak sedapkan lagi ayat)
Kataku, “Tak tahu.”
Jawab Abang Putra, “Supaya generasi yang terkemudian dapat memperbaiki kelemahan generasi yang terdahulu.”
Persoalannya sekarang (buat yang telah berumah tangga), adakah kita telah memperbaiki kelemahan ibu bapa kita ketika kita mendidik anak-anak kita yang ada di sisi kita pada hari ini?
Kadang-kadang kita berasa hairan mengapa anak-anak kita terlalu sukar mendengar kata? Di sini, saya ingin memberikan satu jalan penyelesaian. Mungkin dah sampai masanya untuk kita mengajar anak-anak kita bersolat secara berjemaah kerana solat berjamaah merupakan cara yang terbaik untuk mengajar sistem herarki dalam sesebuah institusi kekeluargaan kepada anak-anak.
Gambar mak, adik dan anak2 aku
Misalnya, dalam solat jamaah, ayah yang berada di hadapan bertindak sebagai pemimpin manakala ibu di barisan belakang bertindak sebagai pengawas, pemerhati kelakuan anak-anak. Sedikit demi sedikit, rasa hormat anak-anak kepada kita akan bertambah insya Allah.
Manakala bagi yang sudah memiliki anak yang berusia tujuh tahun, anda sebenarnya telah diwajibkan untuk menyuruh anak-anak anda supaya menunaikan solat lima waktu sepertimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Suruhlah kanak-kanak supaya bersolat apabila sampai umur tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun maka pukullah mereka (jika mereka meninggalkannya)” [HR Abu Daud (494)]
Manakala bagi yang belum mendirikan rumah tangga, apabila telah tiba masa yang sesuai, carilah pasangan hidup yang taat beragama. Carilah pasangan yang bermaruah, bukan yang murah. Kita punyai mata, telinga dan hati untuk menilai. Maka, nilailah gaya hidup individu yang mahu kita jadikan sebagai pasangan hidup tersebut.
Kalau sebelum berkahwin lagi sudah murah menjual diri dengan bergaul bebas tanpa mengenal batas agama, baju “adik” dan “pakaian tak cukup kain” menjadi trademark…mengapa masih buta hati untuk menilai?
Renung-renungkan dan selamat beramal…
***************************************************
part paling penting untuk diamalkan bersama. Memang kalo nak diikutkan cara didikan. Dah tentu didikan ibu bapa kita dahulu paling baik. Tapi masih ada kekurangannya. Jadi, yang baik itu kita ambil sebagai teladan, dan kekurangan tu, kita cuba perbaiki. Insya Allah. Institusi kekeluargaan akan lebih berkembang erat sejajar dgn pembangunan. Terima kasih. :)
*****************************************************
2 comments:
entri yg 'cukup rasa'.
ada klakarr (puaka bilik abg mi, tajok tak bley blah oke.. wakaka), ada sedih (part mana yg sedih? ntah.. tp cam sayuuuu jer bila baca)dan yg penting banyakkk iktibar yg buleh di ambik.
terima kasih, kem salam ngan adik ek? hehehe
Adik saya mmg penulis berbakat. Nak2 kalo berkisar pada Agama. Tak macam kakak dia ni.. merapu ja lebih. Insya Allah, akan saya sampaikan salam kak kat dia :)
Post a Comment